KTM 250 Duke dan RC 250

gnesop 7/26/2015 0

Pengenalan varian terbaru menerusi KTM 250 Duke dan RC 250 adalah jentera paling ideal bagi majoriti penunggang motosikal di negara ini.

Ini kerana sekiranya mahu membeli motosikal itu, anda tidak perlu bersusah payah menukar atau meningkatkan kategori lesen dua roda yang perlu menjalani latihan serta ujian.

Kehadirannya turut melengkapkan lagi ‘keluarga’ motosikal KTM di negara ini yang melakukan pemasangan tempatan oleh Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd.

Bagaimanapun, ia masih mementingkan prinsip sama seperti model sebelum ini membabitkan jentera yang ringan, pengendalian lincah, keseronokan tunggangan, kompak, lebih ekonomi dan mampu dimiliki.

Kedua-dua model baru itu berkongsi rangkaian kuasa dengan menggunakan enjin empat lejang 249 cc silinder tunggal yang menyalurkan kuasa maksimum 31.3 hp dan tork setinggi 24 Nm.

Ia turut menggunakan sistem sejukan cecair dipadankan kotak gear enam kelajuan berserta klac ‘slipper’.

Enjin empat injap DOHC dipadankan dengan teknologi suntikan Bosch EFI, selain menggunakan sistem suspensi WP, rim aloi dengan tayar Pirelli dan kerangka badan yang ringan.

Ia juga menggunakan ‘fork’ terbalik WP-USD 43 milimeter (mm) di bahagian hadapan sekali gus sesuai untuk kegunaan ekstrem dan berprestasi.

Fungsi itu disokong dengan sistem penyerap hentak WP pada bahagian belakang bagi memperkemas tahap pengendalian keseluruhan.

Reka bentuknya masih sama seperti Duke dan RC yang sedia ada sebelum ini mengutamakan gaya tunggangan ergonomik.

Ia dilengkapi sistem brek angkup empat omboh dengan cakera Bybre 300mm pada bahagian hadapan, manakala angkup omboh tunggal dengan cakera 230mm.

Malah, brek menggunakan sistem ABS Bosch dua saluran yang didatangkan sebagai ciri standard.

Ketua Pegawai Kewangan Eurotech Wheel Distribution, Yeoh Teik Poh yakin keistimewaan jenama KTM mampu bersaing biarpun berdepan pasaran mencabar serta kesan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menurutnya, kehadiran dua varian terbaru iaitu KTM 250 Duke dan RC 250 menjadi pemangkin dalam mencapai sasaran ditetapkan.

“Bagi model KTM Duke, ia mampu dijual antara 200 sehingga 300 unit sebulan manakala 150 sehingga 200 unit bagi KTM RC.

“Kami masih menawarkan model KTM 200 Duke dan KTM RC 250 untuk pasaran tempatan,” katanya.

Motosikal ini dijual pada harga jualan tidak termasuk GST iaitu RM17,888 untuk KTM 250 Duke manakala RM18,888 bagi KTM RC 250.

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/66171?m=1#sthash.GCNXWFrm.dpuf
dpuf